Lokasi Pusat Khidmat

Pusat Khidmat Masyarakat - Ahli Parlimen SUBANG

6-2, Jalan Pekaka 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor.




Isnin -Jumaat: 9:00 pagi - 5:00 ptg

Tel: 03 6157 1842 Fax: 03 - 6157 2841

Pages

Friday, October 31, 2014

Kenyataan Akhbar

PENDIRIAN PEGUAM NEGARA BAHAWA BELIAU BERTINDAK SECARA PROFESIONAL DI DALAM TUDUHAN-TUDUHAN HASUTAN ADALAH SANGAT MERAGUKAN

31 Oktober 2014

Saya merujuk kepada kenyataan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail pada 30 Oktober  2014 bahawa beliau tidak mendakwa dengan "sesuka hati" beliau. Ini adalah sebagai jawapan kepada kritikan meluas tentang tuduhan-tuduhan hasutan bertubi-tubi baru-baru ini.

Pendirian Peguam Negara bahawa beliau telah menjalankan kuasa pendakwaannya dengan betul adalah sukar dipercayai. Lebih 30 orang telah didakwa atau disiasat di dalam tindakan keras ala Ops Lalang baru-baru ini -  yang kebanyakannya adalah berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat oleh ahli-ahli Umno atau kumpulan ekstremis pro-BN.

Pada 14 Ogos, hanya beberapa hari sebelum tindakan keras hasutan bermula, Peguam Negara telah mengadakan pertemuan tertutup dengan 60 ketua-ketua bahagian Umno. Walaupun terdapat desakan orang awam untuk beliau mendedahkan kebenaran mengenai mesyuarat tersebut, Peguam Negara hanya mendiamkan diri.

Selain itu, pada 10 September, kerana kritikan awam, Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan yang berjanji untuk mengkaji semula tuduhan-tuduhan hasutan baru-baru ini. Tetapi tidak ada tindakan lebih lanjut sama sekali. Sebaliknya lebih ramai orang didakwa di mahkamah untuk disiasat atau didakwa di bawah Akta Hasutan yang zalim.

Peguam Negara mendakwa ada 'konteks' semasa Ibrahim Ali membuat ‘kenyataan membakar bible’ beliau yang kontroversial, dan oleh itu beliau tidak didakwa. Namun Gani Patail jelas tidak peduli dengan 'konteks' apabila beliau mendakwa Ahli Parlimen Khalid Samad bagi pendapat beliau mengenai kuasa MAIS atau peguam dan Ahli Parlimen N Surendran bagi kenyataannya yang mempertahankan anak guam beliau Anwar Ibrahim di dalam kes Liwat II atau Profesor Azmi Shahrom bagi pendapat undang-undang beliau.

Tuduhan-tuduhan tersebut dilakukan di dalam tempoh masa yang singkat dan, kami percaya, sebagai tindak balas kepada tekanan langsung dari pimpinan Umno lapisan atas, menunjukkan tidak ada apa-apa yang profesional tentang cara di mana Peguam Negara telah memutuskan untuk memulakannya.

Tuduhan-tuduhan hasutan tersebut adalah perkara yang sangat membimbangkan untuk rakyat Malaysia dan telah dikutuk di peringkat antarabangsa. Kami mendesak Peguam Negara untuk melakukan perkara yang sewajarnya dengan segera mengkaji dan menggugurkan semua tuduhan-tuduhan hasutan yang telah dibawa ke mahkamah.

Dikeluarkan oleh,

Sivarasa Rasiah
KETUA BIRO UNDANG-UNDANG & HAK ASASI MANUSIA, KEADILAN
AHLI PARLIMEN SUBANG

No comments:

Post a Comment