Lokasi Pusat Khidmat

Pusat Khidmat Masyarakat - Ahli Parlimen SUBANG

6-2, Jalan Pekaka 8/4, Seksyen 8, Kota Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor.




Isnin -Jumaat: 9:00 pagi - 5:00 ptg

Tel: 03 6157 1842 Fax: 03 - 6157 2841

Pages

Tuesday, August 19, 2014

Insiden kecelakaan MRT Kota Damansara

Kenyataan Media 19hb Ogos 2014

Saya ingin merakamkan ucapan takziah saya kepada keluarga mangsa kecelakaan projek MRT di Kota Damansara semalam.

Saya sempat melawat tapak tersebut pada jam 1:30 pagi untuk memantau sendiri kejadian tersebut.

Saya ingin juga merakamkan penghargaan saya kepada semua pegawai-pegawai agensi terlibat yang telah berkhidmat sepanjang malam. Begitu juga kepada semua rakan-rakan media yang berkhidmat membawa berita terkini kepada pihak awam.

Saya menyambut baik tindakan pihak MRT untuk serta merta menghentikan kerja tapak di keseluruhan pakej yang terlibat. Pihak MRT bersama pihak-pihak berkuasa juga telah mulakan siasatan mereka.

Sambil siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan, saya mendesak agar kerja-kerja diberhentikan untuk seluruh projek MRT ini, bukan hanya untuk kawasan kerja pakej ini sahaja.

Kita tidak boleh pandang ringan terhadap isu keselamatan dan kesihatan tapak kerja. Insiden ini merupakan yang kedua dalam tempuh masa dua bulan sahaja. Kedua-dua insiden berlaku dalam kawasan Parlimen Subang.

Pengguna jalanraya yang melalui kawasan tapak kerja MRT harus ada keyakinan keselamatan mereka. Kedua-dua insiden ini malangnya tidak memberikan sebarang keyakinan tersebut.

Maka sehingga keyakinan ini dapat dikembalikan melalui lapuran terperinci, saya desak agar kerja-kerja diberhentikan serta merta.

Saya juga mendesak agar MRT terima penyelidik-penyelidik professional lantikan PBT untuk turut menjalankan siasatan atas ciri-ciri keselamatan di tapak-tapak kerja MRT.

Saya juga mendesak agar siasatan terperinci dilakukan keatas syarikat-syarikat sub-kontraktor yang terlibat termasuk pengalaman dan kepakaran mereka mengendalikan projek ini.
Saya bersyukur insiden semalam tidak berlaku di tapak jalanraya besar.

Walaupun saya terima ini adalah satu insiden kecelakaan namun segala ciri-ciri keselamatan tapak kerja harus dihormati.
Begitu juga, keselamatan semua pekerja termasuk warga asing harus diutamakan.
Sekali lagi saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa terlibat.

Terima kasih.

R. Sivarasa
Ahli Parlimen SUBANG


No comments:

Post a Comment