PETALING JAYA 30 MEI : Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta tidak
terus memperalatkan pasukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk tujuan
politik, gesa Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa.
Tegas beliau, KDN yang diketuai Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid
seharusnya memberi ruang dan kebebasan kepada polis untuk menumpukan
perhatian terhadap skop tugas mereka yang sebenar.
“Saya tidak menyalahkan polis-polis ini kerana mereka terpaksa akur
dengan arahan bos-bos mereka untuk menyiasat perkara seperti perhimpunan
aman yang jelas bukan satu jenayah.
“Saya yakin polis juga sebenarnya tidak mahu membuang masa menyiasat dan menahan rakyat yang berhimpun secara aman.
“KDN khususnya Zahid Hamidi mesti bertanggungjawab terhadap
penyelewengan ini, sepatutnya KDN perlu biar PDRM fokus dengan kerja
membendung kejadian jenayah yang makin meningkat dan merunsingkan
rakyat, bukan sebaliknya,” ujarnya di depan Balai Polis Tropicana di
sini.
Ditemani peguam, G. Sivamalar, beliau hadir untuk disoal siasat di
bawah Akta Pehimpunan Aman 2012 berhubung kehadirannya dalam himpunan
solidariti Adam Adli pada 22 Mei lalu.
Pada malam tersebut, seramai 18 orang, termasuk pembantu peribadi
beliau, Peter Chong ditahan ketika berhimpun di hadapan lokap Balai
Polis Jinjang.
“Saya tidak faham mengapa saya dipanggil untuk soal siasat sedangkan
segala yang berlaku pada malam itu disaksikan puluhan anggota polis,
malah sudah pasti ada rakaman video mengenainya, semua ini polis sudah
sedia maklum.
“Saya ditanya soalan yang mereka sudah tahu jawapannya, nampak sangat
polis terpaksa buang masa untuk tindakan politik,” ujarnya kesal.
Beliau bagaimanapun berkata tidak diberitahu samada akan dipanggil semula untuk soal siasat atau akan ditahan selepas ini.
Siasatan bermula pada jam 10.50 pagi tadi dan tamat kira-kira 55 minit kemudian. ~ SelangorKu
.
.. biasalah TUUU..!!!
ReplyDelete